Pertanian & Alam Sekitar

62. Tuan Yang Dipertua, para pesawah,… para petani,… para pekebun kecil,… para nelayan,… para penternak,… serta mana-mana rakyat Malaysia yang terlibat dalam sektor pertanian.

Sesungguhnya, tuan-tuan dan puan-puan lah antara kelompok masyarakat yang sangat dekat di hati saya dan Kerajaan.

63. Justeru, buat pertama kali dalam sejarah Bajet negara, saya dengan penuh prihatin mengumumkan, peruntukan pa-ling besar kepada kelompok pesawah, petani, peladang, nelayan, pekebun kecil, penternak, dan penoreh getah sebanyak 6.5 bilion ringgit, antaranya:

  • Pertama: 2.3 bilion ringgit bagi bantuan dan insentif seperti baja dan input pengeluaran kepada pesawah, pekebun kecil getah dan nelayan;
  • Kedua: Hampir 500 juta ringgit bagi menambah baik infrastruktur pengairan di kawasan pertanian dan menaik taraf jalan ladang;
  • Ketiga: Hampir 200 juta ringgit bagi program penanaman semula getah dan menyediakan kemudahan infrastruktur dengan meningkatkan pengeluaran latex berbanding cup lump, sekali gus meningkatkan pendapatan para pekebun kecil;
  • Keempat: Hampir 140 juta ringgit bagi program pembangunan dan penanaman semula kelapa sawit termasuk promosi;
  • Kelima: Dalam memperkasakan sektor pertanian, 200 juta ringgit disediakan bagi inisiatif Sumber Kekayaan Baharu, khususnya untuk penanaman jagung bijian, kelapa, durian, dan sektor kulinari serta industri tenusu dengan menubuhkan Lembaga Tenusu dan Ruminan.

    Contohnya, di Hong Kong, harga durian Mawsang King dikhabarkan telah mencecah lapan ratus ringgit sebiji.

  • Keenam: Buat pertama kalinya, skim khas, untuk program peningkatan pengeluaran kelapa melalui pendekatan penanaman semula kelapa variasi baru dari jenis CARECA dan MATAG akan diperkenalkan dengan peruntukan 50 juta ringgit, memanfaatkan 10 ribu pekebun kecil.

    Pengurusan industri kelapa akan digabungkan di bawah satu lembaga baru bersama-sama industri nenas dan buah-buahan; dan

  • Ketujuh: Selain penoreh getah dan nelayan yang dikekalkan bantuan-bantuannya, pada Bajet kali ini, buat pertama kalinya, saya juga ingin mengumumkan bantuan sebanyak 200 ringgit sebulan bagi tempoh 3 bulan sementara menunggu hasil tuaian padi, dengan peruntukan hampir 150 juta ringgit kepada pesawah padi.

...

Tuan Yang Dipertua,

196. Walau semaju mana kita mengejar arus kemodenan negara, kita tetap wajib memelihara kelestarian alam sekitar, sebagai khazanah warisan tanah air anak cucu kita.

197. Berkait ini, kita terkejut dengan tragedi tanah runtuh di Tanjung Bungah, Pulau Pinang pada Sabtu lepas, yang telah menimbus lebih 20 mangsa, dan 11 daripadanya disahkan meninggal dunia.

Dengan tidak disangka-sangka, terbitnya serangkap keluhan, bagi meratapi peristiwa ngeri itu.

198. Yang terlebih syahdu, kerana ia dinukilkan sendiri oleh Ahli Parlimen DAP yang kita segani dari sebelah sana, Yang Berhormat Kepong, bertajuk, “Tanah Runtuh di Lereng Bukit” di ruangan Twitternya, yang berbunyi

Ibu jaga anak kan sakit,

Darah tubuh beban kesihatan,

Pemaju bina leretan bukit,

Tanah runtuh korban insan.

199. Sebetulnya, apa kias yang YB Kepong ingin sampaikan, hanya Tuhan sahaja yang tahu,…

Tuan Yang Dipertua,

200. Jadinya, untuk mempastikan pembangunan lestari, langkah berikut akan dilaksanakan:

  • Pertama: Lima bilion ringgit disediakan di bawah Skim Pembiayaan Teknologi Hijau, bagi menggalakkan pelaburan industri teknologi hijau;
  • Kedua: Melaksanakan Program Non-Revenue Water, untuk mengurangkan kadar purata kehilangan air dengan kos 1.4 bilion ringgit;
  • Ketiga: Membina Off-River Storage sebagai sumber air alternatif dengan kos 1.3 bilion ringgit; dan
  • Keempat: 517 juta ringgit disediakan untuk rancangan tebatan banjir di seluruh negara.