Budaya & Pelancongan

66. Seterusnya, bagi tahun 2018, dijangka 28 juta pelancong melawat Malaysia. Sehubungan itu:

  • Pertama: Sukacita diisytiharkan dalam Bajet ini, tahun 2020 sebagai Tahun Melawat Malaysia atau Visit Malaysia Year 2020 di mana Malaysia akan menjadi tuan rumah antaranya kepada APEC, WCIT dan CHOGM;
  • Kedua: Dua bilion ringgit diperuntukkan kepada Tabung Pelancongan PKS sebagai pinjaman kepada pengusaha pelancongan dengan memberi insentif subsidi kadar faedah dua peratus;
  • Ketiga: Menambah satu bilion ringgit kepada Tabung Pembangunan Infrastruktur Pelancongan sebagai pinjaman mudah;
  • Keempat: Menyediakan 500 juta ringgit bagi program pembangunan dan promosi pelancongan melalui kemudahan infrastruktur pelancongan, homestay dan program eko-pelancongan;
  • Kelima: Memperluas hab serantau eVisa bagi memudahkan permohonan visa di seluruh dunia, terutama kepada ekspatriat, pelajar asing dan program Malaysia My Second Home;
  • Keenam: Galakan cukai bagi pelaburan hotel baharu bertaraf 4 dan 5 bintang dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020; dan
  • Ketujuh: Galakan pengecualian cukai pendapatan bagi syarikat pengendali pelancongan dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2020.

Tuan Yang Dipertua,

67. Selain itu, industri pelancongan kesihatan turut diperkukuh menjadi sumber pendapatan negara, termasuklah menyediakan ‘end-to-end service’ kepada pelancong kesihatan ke Malaysia.

68. Bagi hasrat ini, 30 juta ringgit disediakan kepada Malaysian Healthcare Travel Council untuk melaksanakan:

  • Pertama: Mempromosi Malaysia sebagai “Hab Rawatan Kesuburan, Termasuk IVF, dan Kardiologi Asia”, yang akan diperluaskan dengan kemudahan eVisa dan pakej perkhidmatan kesihatan bernilai tinggi;
  • Kedua: Memperkenalkan Program Flagship Medical Tourism Hospital yang menawarkan insentif khusus kepada hospital swasta bagi menarik pelancong kesihatan;
  • Ketiga: Galakan elaun cukai pelaburan sebanyak seratus peratus bagi pelancongan kesihatan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020;
  • Keempat: Potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan mendapatkan pensijilan kualiti daripada Badan pensijilan akreditasi kualiti perkhidmatan kesihatan, bagi perkhidmatan pergigian dan ambulatori yang berdaftar dengan MHTC; dan
  • Kelima: Insentif khas pengecualian cukai dinaikkan daripada 50 peratus ke 100 peratus dari nilai peningkatan eksport, bagi perkhidmatan jagaan kesihatan swasta sahaja, mulai tahun taksiran 2018 hingga 2020.