Pencukaian, Perniagaan & Kewangan

Berkaitan GST pula, bagi terus menambah baik pelaksanaannya, Kerajaan mencadangkan:

  • Pertama: Semua pembekalan perkhidmatan oleh PBT tidak dikenakan GST, berkuatkuasa mulai 1 April 2018 atau 1 Oktober 2018 berdasarkan pilihan PBT;
  • Kedua: Layanan GST berkadar sifar ke atas bahan bacaan, diseragam dan diperluaskan meliputi semua jenis majalah, komik, journal dan terbitan berkala mulai 1 Januari 2018;
  • Ketiga: Operator kapal persiaran diberi pelepasan GST ke atas perkhidmatan pengendalian yang dibekalkan oleh operator pelabuhan di Malaysia. Pelepasan ini bermula 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2020; dan
  • Keempat: Pelepasan GST sepenuhnya diberi ke atas perkhidmatan pembinaan bangunan sekolah dan rumah ibadat, yang dibiayai melalui sumbangan derma yang diluluskan. Pelepasan ini berkuat kuasa bagi kontrak perkhidmatan pembinaan yang ditandatangani mulai 1 April 2017.

Tuan Yang Dipertua,

Bercakap tentang GST lagi, pihak Kerajaan minta, agar sudah-sudahlah dipolemikkan sebagai isu politik,… kerana terbukti GST menjadi penyelamat kepada ekonomi kita tahun ini, kerana tanpa kutipan GST 41 bilion ringgit ini, kita tidak dapat bayangkan macam mana negara boleh menampung perbelanjaan yang diperlukan untuk rakyat.

Jelasnya, pihak pembangkang sampai hari ini tidak sepakat tentang keputusan menerima sistem GST, ada yang kata GST diterima tapi based on zero-rate,… dan yang terbaru dah nak kembali ke SST pula,…

Tapi hakikatnya, apa yang telah Kerajaan lakukan itu, terakam dalam sejarah sebagai langkah berani yang terbukti kebenarannya.

Selanjutnya,…

  • Kelima: Pelepasan GST diberi ke atas pengimportan peralatan berkaitan industri minyak dan gas di bawah satu perjanjian pajakan, dibekalkan oleh syarikat yang berada di Kawasan Ditetapkan iaitu Labuan, Langkawi dan Tioman kepada pelanggan di Malaysia, mulai 1 Januari 2018;
  • Keenam: Pelepasan GST diberi ke atas pengimportan big ticket items, seperti kapal terbang dan kapal laut, oleh syarikat penerbangan dan perkapalan yang berdaftar di Malaysia.
  • Pelepasan GST turut diberikan kepada syarikat di dalam industri minyak dan gas yang mengimport pelantar minyak atau struktur terapung. Langkah ini bermula 1 Januari 2018; dan
  • Ketujuh: Perkhidmatan pengurusan dan penyelenggaraan bangunan kediaman berstrata yang dibekalkan oleh Badan Pengurusan Bersama dan perbadanan pengurusan yang kini tidak dikenakan GST, diperluas untuk meliputi perkhidmatan pengurusan dan penyelenggaraan yang dibekalkan oleh pemaju perumahan, mulai 1 Januari 2018.

...

Ini termasuk, satu bilion ringgit kepada Lima Koridor Utama. Kerajaan akan membangunkan Wilayah Selatan Perak, merangkumi pembangunan Proton City, Educity dan Youth City, Tanjung Malim serta Zon Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam; pembinaan pelabuhan dan kawasan perindustrian Tok Bali, Kelantan serta jalan akses ke Empangan Baleh, Sarawak.

Serentak itu, bagi terus meletakkan Malaysia sebagai lokasi pelaburan langsung asing, galakan cukai bagi Principal Hub akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020. Bagi MIDA pula, kita akan memperuntukkan 200 juta ringgit untuk dana strategik berimpak tinggi.

Malaysia komited untuk perkongsian maklumat ekonomi yang diperkenalkan oleh OECD. Ini termasuklah menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Base Erosion And Profit Shifting serta Pertukaran Maklumat Secara Automatik mulai September 2018.

Tuan Yang Dipertua,

Pembangunan Malaysia akan dilaksanakan melalui penglibatan inklusif PKS. Buat masa ini, di Malaysia, kita ada antaranya, perusahaan Jeruk Pak Ali, Sydney Cake House, Telekung Siti Khadijah dan Satay Haji Samuri, yang telah bertapak kukuh dengan jenama sendiri, malah ada yang telah menembusi pasaran antarabangsa.

Wakil-wakil PKS yang kita banggakan, turut memeriahkan Pembentangan Bajet ini. Ucapkan selamat datang kepada mereka ke Dewan Parlimen, serta marilah kita beri tepukan tahniah kepada kejayaan mereka!

Sehubungan itu, Tuan Yang Dipertua, Bajet ini mensasarkan supaya syarikat-syarikat PKS akan menyumbang 41 peratus kepada KDNK menjelang tahun 2020, melalui langkah berikut:

  • Pertama: Tujuh bilion ringgit di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan atau SJPP, iaitu lima bilion ringgit untuk modal kerja dan dua bilion ringgit, pinjaman dengan 70 peratus jaminan Kerajaan untuk sektor perkhidmatan termasuk Industrial Revolution 4.0;
  • Kedua: Dalam komitmen Kerajaan untuk mengautomasikan proses pengeluaran dan mengurangkan peng-gajian pekerja asing, satu jumlah besar diberi buat julung kalinya, sebanyak satu bilion ringgit, dengan pinjaman 70 peratus jaminan Kerajaan di bawah SJPP;
  • Ketiga: Saiz Dana Skim Pembiayaan PKS Patuh Syariah ditambah 1 bilion ringgit, menjadikan saiz dana 2.5 bilion ringgit. Kemudahan ini diberi subsidi dua peratus ke atas kadar keuntungannya;
  • Keempat: Sejumlah 200 juta ringgit bagi program latihan, geran dan pinjaman mudah PKS di bawah SME Corp; dan
  • Kelima: Hampir 82 juta ringgit bagi pembangunan industri dan produk halal di pelbagai agensi.

Bukan itu sahaja, Kerajaan tidak melupakan usahawan-usahawan mikro, seperti peniaga coconut shake di Klebang, Melaka yang popular itu.

Seiring ini juga, sukacita saya memperuntukkan Bajet paling tinggi pernah diberi kepada TEKUN, iaitu setengah bilion ringgit.

Tuan Yang Dipertua,

Selanjutnya, bagi menghargai sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia atau AIM yang majoritinya wanita serta merupakan pembayar balik hutang paling berdisiplin,… bagi mereka terus berusaha gigih, mengubah nasib dan memajukan diri serta keluarga masing-masing,…

Maka,… bagi Bajet ini, apalah salahnya kita tambah-tambahkan lagi dana AIM, sebanyak 200 juta ringgit.

Ini menjadikan jumlah pembiayaan keseluruhan AIM mencecah 2.7 bilion ringgit, memanfaatkan hampir 400 ribu peminjam.

Lagipun, telah tercipta pelbagai kisah kejayaan di kalangan peminjam.

Tuan Yang Dipertua,

Menyentuh hal ini,… kita sesungguhnya berasa simpati dan berbaur kagum dengan ketabahan seorang insan bernama Wan Azizah,… atau lebih dikenali dengan nama Kak Wan,… dalam menempuh liku-liku hidup beliau yang begitu mencabar….. namun, berkat kesabaran,… Kak Wan terus cekal berjuang,….

Nampaknya, Kak Wan ada bersama-sama kita pada hari ini,…

Justeru, marilah kita sama-sama memberi tepukan kepada Kak Wan Azizah binti Wan Salleh, yang berada di atas sana,… contoh Sahabat AIM yang telah berjaya menjadi jutawan di bidang ternakan dan pemprosesan ayam, dengan modal permulaan hanya sebanyak 500 ringgit daripada AIM sejak 1993.

Selanjutnya, 80 juta ringgit disediakan di bawah Skim Pembiayaan Ekonomi Desa melalui Bank Rakyat dan Bank SME, bagi menyediakan kemudahan pembiayaan kepada usahawan Bumiputera luar bandar.

Eksport negara pula, akan terus dipergiat, terutama kepada sektor eksport yang bernilai tinggi menerusi langkah berikut:

  • Pertama: 150 juta ringgit kepada MATRADE, MIDA dan SME Corp bagi melaksanakan promosi dan peluasan pasaran eksport termasuk Market Development Grant;
  • Kedua: Satu bilion ringgit disediakan oleh EXIM Bank bagi kemudahan kredit perlindungan insurans, dan dua ratus juta ringgit untuk kemudahan kredit pembiayaan kepada pengeksport PKS; dan
  • Ketiga: 100 juta ringgit disediakan sebagai pinjaman dengan 70 peratus jaminan Kerajaan bagi meng-automasi pengeluaran perabot tempatan untuk tujuan eksport."