Ekonomi Digital

Dunia kini di ambang The Fourth Industrial Revolution dan era digital economy, sehingga Kerajaan berusaha melaksanakan Dasar Digital Malaysia.

193. Lantaran itu, sebagai menyokong aktiviti pelaburan dan perniagaan IR 4.0, Kerajaan akan menyediakan geran sepadan sebanyak 245 juta ringgit di bawah Dana Strategik Pelaburan Domestik bagi menaik taraf kemudahan Smart Manufacturing.

194. Selanjutnya, Futurise Centre di Cyberjaya akan diperkukuhkan sebagai pusat sehenti syarikat korporat dan universiti, untuk membangunkan prototype produk serta melonjakkan daya inovasi.

195. Berkait ini Tuan Yang Dipertua, Kerajaan akan memberi galakan cukai seperti berikut:

  • Pertama: Melanjutkan tempoh insentif Elaun Modal Dipercepatkan sebanyak 200 peratus ke atas kelengkapan automasi dari tahun taksiran 2018 sehingga 2020;
  • Kedua: Galakan Elaun Modal Dipercepatkan sebanyak 200 peratus, untuk sektor pengilangan dan perkhidmatan berkaitan pengilangan; dan
  • Ketiga: Elaun Modal bagi peralatan ICT termasuk perbelanjaan pembangunan perisian komputer, layak dituntut sepenuhnya mulai tahun taksiran 2018 hingga 2020.

...

201. Berbalik kepada hal ekonomi digital, Malaysia bakal memiliki Digital Free Trade Zone yang pertama di luar negara China. DFTZ ini merangkumi e-Fulfilment Hub, Satellite Services Hub dan e-Service Platform bagi melonjakkan negara dalam perdagangan elektronik, dengan menjadikan KLIA sebagai gateway serantau.

202. Fasa Pertama DFTZ mensasarkan penyertaan 1,500 PKS dalam ekonomi digital dan dijangka menarik pelaburan sebanyak 700 juta ringgit dengan mewujudkan 2,500 peluang pekerjaan. Untuk tujuan ini:

  • Pertama: 83.5 juta ringgit diperuntukkan bagi membiayai penyediaan infrastruktur fasa satu DFTZ di Aeropolis, KLIA; dan
  • Kedua: Nilai de minimis bagi import, dinaikkan dari 500 ke 800 ringgit, untuk mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebagai hab e-commerce serantau.

Tuan Yang Dipertua,

203. Selanjutnya, Kerajaan akan mewujudkan ekosistem yang kondusif untuk meraih manfaat inovasi, khususnya daripada cetusan idea start-up tempatan.

204. Sukacita diumumkan Kerajaan akan memperluaskan pendekatan ‘regulatory sandbox’ bagi memudahkan syarikat menguji idea inovatif dan model perniagaan baharu, yang akan dilaksanakan oleh semua Regulator berkaitan.