Keselamatan Awam & Ketelusan

131. Bagi mengekang ancaman ideologi ekstremisme seperti IS dan DAESH, Kerajaan telah menubuhkan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi.

132. Di samping itu, Kerajaan akan Mempertingkatkan Keselamatan Sempadan Dan Ketenteraman Awam dengan memperuntukkan lebih 14 bilion ringgit untuk Angkatan Tentera Malaysia, hampir 9 bilion ringgit untuk Polis DiRaja Malaysia dan lebih 900 juta ringgit kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

133. Program utama yang akan dilaksanakan merangkumi:

  • Pertama: Tiga bilion ringgit untuk pembelian dan penyelenggaraan aset pertahanan;
  • Kedua: 720 juta ringgit bagi pembinaan sebelas ibu pejabat dan enam balai polis, serta pembelian kelengkapan senjata api dan kenderaan operasi. Manakala 170 juta ringgit untuk menaik taraf peralatan ICT termasuk sistem 1PDRMnet, serta 100 juta ringgit bagi menaik taraf sistem komunikasi.

    Selanjutnya, bagi menjaga kebajikan anggota polis, saya dengan sukacitanya mengumumkan,… 10 ribu unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia-PDRM atau PPA1M-PDRM akan dibina, yang harganya sesuai dengan tangga gaji anggota polis;

  • Ketiga: 490 juta ringgit kepada APMM untuk baik pulih dan selenggara kapal serta bot, menaiktaraf jeti, juga pembelian tiga kapal peronda;
  • Keempat: 250 juta ringgit kepada ESSCOM bagi mempertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan sempadan Sabah dan Sarawak, termasuk 50 juta ringgit untuk coastal surveillance radar;
  • Kelima: 50 juta ringgit bagi meningkatkan keupayaan aset pesenjataan pasukan gerak khas menangani kegiatan anti-keganasan; dan
  • Keenam: Selain itu, dalam menghargai peranan RELA membantu masyarakat selama ini, Kerajaan menyediakan peruntukan yang paling tinggi, iaitu hampir 250 juta ringgit bagi kelengkapan keperluan, termasuk pakaian seragam.

134. Dalam menjaga kebajikan para tentera, Kerajaan akan:

  • Pertama: Menyediakan blueprint Perumahan Keluarga Angkatan Tentera untuk membina lebih 40 ribu unit secara berfasa, menjelang tahun 2030. Bagi 2018, sebanyak hampir 6 ribu unit akan dibina; dan
  • Kedua: 40 juta ringgit untuk menaik taraf lima hospital, membina empat poliklinik dan hospital veteran angkatan tentera.

135. Untuk itu, marilah kita bersama-sama memberikan setinggi-tinggi penghargaan dan tepukan kepada semua anggota keselamatan negara, merangkumi pasukan polis, anggota tentera, dan APMM, yang telah berkorban jiwa dan raga, demi menjaga keamanan serta kedaulatan pertiwi tercinta ini!