Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan

186. Bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, Kerajaan memperuntukkan hampir 27 bilion ringgit, meliputi:

  • Pertama: 2.5 bilion ringgit bagi bekalan ubat-ubatan dan 1.6 bilion ringgit untuk barangan consumable dan sokongan perubatan;
  • Kedua: 1.4 bilion ringgit bagi menaiktaraf dan menyelenggara fasiliti kesihatan, peralatan perubatan dan ambulan, termasuklah pembinaan dewan bedah secara modular di tiga hospital iaitu Hospital Muar, Banting dan Balik Pulau;
  • Ketiga: Menaiktaraf perkhidmatan kardiologi dan kardiotorasik di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu dan Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar;
  • Keempat: 100 juta ringgit untuk menaik taraf hospital dan klinik termasuk sistem pendawaian;
  • Kelima: 50 juta ringgit untuk bantuan haemodialisis dengan subsidi 100 ringgit daripada keseluruhan kos 110 ringgit setiap sesi rawatan.

    Maknanya, mulai 2018, pesakit berdaftar hanya membayar sepuluh ringgit sahaja bagi setiap sesi rawatan.

    40 juta ringgit lagi diperuntukan bagi Tabung Bantuan Perubatan. Kedua-dua insentif ini khusus untuk golongan kurang berkemampuan;

  • Keenam: 10 juta ringgit untuk menampung kos perubatan bagi rawatan rare diseases yang kian meningkat, dan 30 juta ringgit disediakan bagi program Komuniti Sihat Perkasa Negara ke arah kesedaran terhadap kesan penyakit tidak berjangkit di 10 ribu kawasan seluruh negara; dan
  • Ketujuh: Sejumlah 50 juta ringgit diperuntukkan kepada Voluntary Health Insurance Scheme untuk memperkasa sektor kesihatan.

187. Selanjutnya, Kerajaan akan membina hospital dan wad baharu meliputi:

  • Pertama: Dua blok wad wanita dan kanak-kanak di Hospital Tengku Ampuan Afzan dan Hospital Putrajaya, dengan kapasiti 300 katil setiap satu, dengan kos satu bilion ringgit;
  • Kedua: Pusat Kanser di Sungai Petani, dengan kos 500 juta ringgit, dengan kapasiti 200 buah katil;
  • Ketiga: Blok klinik pakar dan wad baharu di Hospital Pulau Pinang, berkapasiti 300 buah katil, dengan kos 500 juta ringgit; dan
  • Keempat: Pusat perkhidmatan perubatan forensik bertaraf antarabangsa di Hospital Kuala Lumpur, dengan kos 380 juta ringgit.