Kuasa Beli

Transkrip:

161. Kerajaan terus komited dan berikhtiar gigih dalam mewujudkan peluang pekerjaan serta menjana pendapatan, melalui langkah-langkah berikut:

  • Pertama: 100 juta ringgit untuk memperluas Program eRezeki, eUsahawan dan eLadang di bawah MDEC;
  • Kedua: Menyediakan pinjaman mudah sebanyak 120 juta ringgit kepada seribu usahawan Food Truck 1Malaysia dan Mobile Food Kiosk 1Malaysia melalui Bank Rakyat dan Bank Simpanan Nasional, dengan Kerajaan memberi subsidi kadar faedah empat peratus;
  • Ketiga: 60 juta ringgit untuk program 1AZAM, termasuk 10 juta ringgit untuk Sabah dan 10 juta ringgit untuk Sarawak; dan
  • Keempat: 25 juta ringgit untuk Program Motosikal Tiga Roda di bawah FAMA, program mobilepreneur GiatMara, dan program MyAGROSIS.

162. Di sudut lain, selaras dengan IR 4.0, kepada semua pemandu teksi berdaftar sedia ada, bahawa Kerajaan mendengar pandangan tuan-tuan, yang berhasrat untuk bertukar ke penggunaan aplikasi e-hailing. Untuk itu, saya umumkan,… geran 5 ribu ringgit disediakan kepada setiap pemandu teksi yang terlibat untuk membeli kereta baharu.

Kita berasa gembira kerana beberapa wakil pemandu teksi turut hadir mendengar pembentangan Bajet pada petang ini. Kita ucapkan terima kasih,… terima kasih!

Tuan Yang Dipertua,

163. Sejak BR1M diperkenalkan, terbukti rakyat teramai menerimanya dengan senang hati dan rasa syukur. Jelas sekali, BR1M merupakan suatu bentuk subsidi bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukannya, terbukti keberkesanannya.

164. Hatta, pihak pembangkang yang begitu negatif terhadap inisiatif ini dan menuduh sebagai “dedak” itu dan “umpan” ini, tapi kini tanpa segan silu membuat “u-turn”, dan khabarnya Kerajaan Pulau Pinang sendiri telah akur akan benarnya program BR1M oleh Kerajaan ini.

165. Sehubungan itu, jika BR1M tahun ini telah memanfaatkan 7 juta penerima dengan peruntukan 6.8 bilion ringgit, maka bagi tahun 2018, 7 juta penerima itu akan terus menikmati pemberian ini, dengan kadar maksimum sehingga 1,200 ringgit.

Tuan Yang Dipertua,

166. Kerajaan sentiasa berusaha untuk meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah serta merapatkan jurang pendapatan di Malaysia.

167. Dengan ini, saya mengumumkan satu lagi khabar gembira kepada setiap 2.3 juta pembayar cukai, yang akan dinikmati terutamanya oleh golongan pendapatan pertengahan yakni M40, atau lebih khusus, isi rumah berpendapatan 9 ribu ringgit ke bawah.

168. Ingin saya umumkan,…. kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan dua mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai antara 20 ribu hingga 70 ribu ringgit, iaitu:

  • Pertama: Banjaran Pendapatan Bercukai daripada 20,001 ringgit sehingga 35,000 ringgit, kadarnya diturunkan daripada 5 peratus kepada 3 peratus;
  • Kedua: Banjaran Pendapatan Bercukai daripada 35,001 ringgit sehingga 50,000 ringgit pula, kadarnya diturunkan daripada 10 peratus kepada 8 peratus; dan
  • Ketiga: Banjaran Pendapatan Bercukai daripada 50,001 ringgit sehingga 70,000 ringgit kadarnya diturunkan daripada 16 peratus kepada 14 peratus.

Langkah ini akan meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat antara 300 ringgit sehingga seribu ringgit. Ini bermakna, dianggarkan sejumlah 1.5 bilion ringgit lebihan pendapatan boleh guna, dapat dibelanjakan oleh rakyat. Dengan langkah ini juga, semua pembayar cukai akan mendapat faedah di samping lebih 261 ribu orang kini tidak perlu lagi membayar cukai pendapatan.

Tuan Yang Dipertua,

169. Seperkara lagi, demi kemaslahatan rakyat seharian, Bajet ini masih memperuntukkan 3.9 bilion ringgit subsidi barangan dan pengangkutan, termasuk gas memasak, tepung, minyak masak, subsidi elektrik dan tol.

170. Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, Kedai Rakyat 1Malaysia akan distruktur semula sebagai KR1M 2.0. Sebagai permulaan pada 2018, 50 kedai akan dijadikan KR1M 2.0 dan diperluaskan kepada tiga ribu KR1M 2.0 dalam tempoh tiga tahun.

171. KR1M 2.0 akan menyediakan lima barang keperluan asas dengan harga rendah iaitu beras, gula, minyak masak, tepung dan LPG. Di samping itu, 50 jenis barangan pengguna berjenama dijual pada harga lebih rendah daripada pasaran.

172. Bagi Program Penyeragaman Harga Barang Keperluan Asas di Sabah dan Sarawak diteruskan dengan peruntukan 80 juta ringgit.

173. Di samping itu, Kerajaan akan membangunkan Agrobazaar Malaysia dengan peruntukan 20 juta ringgit, bagi menyediakan ruang pasaran dan pusat jualan agro makanan dengan harga yang lebih rendah, dimulakan di Putrajaya.

174. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan melaksanakan program melalui FAMA dan LKIM dengan peruntukan 50 juta ringgit, bertujuan agar pengguna memperolehi stok barang makanan dengan harga berpatutan, seperti ikan, sayur, ayam dan telur.

Tuan Yang Dipertua,

175. Seterusnya, berita gembira buat pengguna lebuhraya di Selangor, Kedah dan Johor. Mulai 1 Januari 2018, Kerajaan telah bersetuju untuk:-

  • Pertama: Memansuhkan kutipan tol di Batu Tiga, Shah Alam dan Sungai Rasau di Selangor;
  • Kedua: Memansuhkan kutipan tol di Bukit Kayu Hitam, Kedah; dan
  • Ketiganya: Memansuhkan kutipan tol di Eastern Dispersal Link, Johor.

Tuan Yang Dipertua,

176. Bagi mereka yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap, Kerajaan akan meningkatkan sumbangan terhadap caruman kepada 15 peratus tertakluk kepada maksimum 250 ringgit setahun di dalam Skim Persaraan 1Malaysia, di bawah KWSP. Sumbangan ini bermula dari 2018 hingga 2022.

Tuan yang Dipertua,

177. Kerajaan sedar akan beban kos yang ditanggung oleh isi rumah, bagi penggajian pembantu rumah asing. Pada masa ini, kos keseluruhan membawa masuk setiap pembantu rumah boleh mencecah setinggi 12 hingga 18 ribu ringgit.

178. Bagi mengatasi isu ini, Kerajaan akan mengkaji semula kos pengambilan pembantu rumah asing supaya dapat dikurangkan pada masa hadapan.

179. Sebagai permulaan, Kerajaan memberi pilihan kepada majikan untuk mengambil pembantu rumah asing secara langsung daripada sembilan negara sumber, tanpa melalui ejen.

180. Seterusnya, majikan boleh memohon visa pembantu rumah daripada Jabatan Imigresen Malaysia secara online dengan bayaran levi dan fi pemprosesan seperti kadar sedia ada.