Pembangunan Desa

120. Justeru, Kerajaan terus bertumpu kepada Projek-Projek Infra-Rakyat bertaraf dunia. Contohnya, MRT jajaran Sungai Buloh-Kajang berjaya kita siapkan, berkeupayaan menampung 400 ribu pengguna sehari.

121. Menariknya, MRT ini merupakan ‘success story’ di mana kita bukan sahaja dapat menyiapkan projek itu lebih awal daripada jadual, malah, telah berjaya menjimatkan kos sebanyak 2 bilion ringgit daripada jumlah asal pembinaan.

Tuan Yang Dipertua,

122. Menjengah kemudahan prasarana di Sabah dan Sarawak pula, Kerajaan telah mengotakan janjinya melalui pembinaan LEBUHRAYA PAN-BORNEO.

123. Mudah-mudahan, projek ini akan terus mengukir senyuman lebar kepada “urang-urang” Sabah dan Sarawak kerana kemajuan telah sampai di kaki-kaki halaman masing-masing, sehingga kawasan terpencil di Kapit-Ulu Song, yang sebelum ini terputus hubungan dengan dunia luar.

Tuan Yang Dipertua,

124. Untuk infrastruktur asas terutama di luar bandar, 6.5 bilion ringgit disediakan, antaranya:

  • Pertama: 2 bilion ringgit untuk projek Lebuhraya Pan-Borneo. Bagi negeri Sarawak, kesemua 11 pakej pembinaan telah diagihkan, manakala lima daripada 35 pakej Fasa Pertama di Sabah sudahpun dianugerahkan, dan 12 lagi dalam proses tender;
  • Kedua: 1.1 bilion ringgit untuk projek mesra rakyat seperti menaik taraf jambatan, lampu jalan kampung, surau serta pasar;
  • Ketiga: Satu bilion ringgit diperuntukkan melalui SKMM, bagi membangunkan infrastruktur komunikasi serta kemudahan jalur lebar di Sabah dan Sarawak;
  • Keempat: 934 juta ringgit untuk projek jalan luar bandar, termasuk hampir 500 juta ringgit untuk Sabah dan Sarawak;
  • Kelima: 672 juta ringgit untuk bekalan elektrik, termasuk 620 juta ringgit untuk Sabah dan Sarawak melibatkan 10 ribu rumah luar bandar.

    Secara keseluruhannya, sejak 2009, lebih 100 bilion ringgit subsidi telah dibelanjakan termasuk subsidi gas bahan api, untuk membolehkan rakyat Malaysia mendapatkan bekalan elektrik yang murah, berkualiti dan realiable;

  • Keenam: 420 juta ringgit termasuk hampir 300 juta ringgit untuk Sabah dan Sarawak, disediakan bagi bekalan air bersih meliputi 3 ribu rumah;
  • Ketujuh: 500 juta ringgit disediakan untuk Program Penyelenggaraan Infrastruktur Awam, dan Projek Infrastruktur Asas, untuk memenuhi keperluan dan wishlist rakyat di peringkat akar umbi; dan
  • Kelapan: 50 juta ringgit diperuntukkan untuk pemetaan dan pengukuran tanah-tanah adat, iaitu 30 juta ringgit untuk Sarawak dan 20 juta ringgit untuk Sabah.

    Sebahagian daripada projek rakyat-centric ini akan dilaksanakan melalui inisiatif pembiayaan swasta.

125. National Blue Ocean Shift atau NBOS juga terus dilaksanakan secara pantas dan bersepadu, dengan kos yang minima serta berimpak tinggi.

126. Bagi 2018, sebanyak 300 juta ringgit diperuntukkan untuk program NBOS termasuk pembinaan UTC baharu, Blue Ocean Entrepreneur Township, Mobile CTC, program keusahawanan, Global Entrepreneurship Community serta Usahawan Sosial yang inklusif dan vibrant.

Tuan Yang Dipertua,

127. Kebajikan para peneroka FELDA terus dibela. Lebih 112 ribu peneroka FELDA telah menerima ‘durian runtuh’ melalui enam insentif utama, antaranya bayaran Insentif Khas Peneroka bernilai 5 ribu ringgit.

128. Saya juga ingin mengumumkan, Kerajaan akan mengembalikan semula wang ses yang telah dibayar oleh peneroka getah yang telah membuat tanaman semula kelapa sawit, dari tahun 2010 hingga 2016. Ini akan memanfaatkan 8,925 peneroka FELDA dengan peruntukan 43 juta ringgit. Bukan itu sahaja, 60 juta ringgit juga disediakan untuk program tanaman semula sawit.

129. Selanjutnya, 164 juta ringgit diperuntukkan bagi membina 5 ribu unit Rumah Generasi Kedua FELDA, dengan kerjasama SPNB.

130. Sebagai tambahan, hampir 200 juta ringgit lagi diperuntukkan kepada FELDA, bagi sistem bekalan air dan menaik taraf jalan serta lampu jalan.

Mustahaknya, Kerajaan kini, dulu dan selamanya akan memperjuangkan nasib para peneroka FELDA.