Pendidikan

84. Menyentuh tentang pendidikan untuk generasi TN50 lagi, sebanyak 250 juta ringgit disediakan untuk:

  • Pertama: Menubuhkan pusat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik atau STEM, bertujuan membentuk kaedah pembelajaran terkini, bagi melatih guru pakar STEM mengguna pakai fasiliti institut pendidikan guru sedia ada, dengan kerjasama Akademi Sains Malaysia;
  • Kedua: Mempertingkatkan modul Computer Science yang termasuk program Coding dalam kurikulum sekolah rendah dan menengah, yang kini telah pun wujud di Tingkatan Satu dan Tingkatan Tiga;
  • Ketiga: Memperuntukkan 190 juta ringgit bagi menaiktaraf dua ribu kelas menjadi Bilik Darjah Pintar Pembelajaran Abad Ke-21, bagi meningkatkan pembelajaran berasaskan pemikiran kreatif dan inovatif; dan
  • Keempat: Menuju TN50, Kerajaan juga melihat peranan penggiat seni untuk mengangkat mutu budaya ke tahap yang lebih tinggi. Untuk itu, hampir 20 juta ringgit disediakan kepada Cultural Economy Development Agency.

Tuan Yang Dipertua,

85. Mutakhir ini, Kerajaan amat berbangga dengan pencapaian terbaik pendidikan tinggi negara kita:

  • Pertama: Menurut Laporan QS University Ranking 2017/2018, kelima-lima Research Universities di negara ini telah meningkat naik tergolong kumpulan 300 universiti terbaik global, yakni tersenarai antara satu peratus terbaik dunia;
  • Kedua: Malah, ranking Universiti Malaya telah meningkat sebanyak 19 anak tangga, ke kedudukan 114, menghampiri 100 universiti terbaik dunia;
  • Ketiga: Mengikut ranking Universitas 21, yang menilai sistem pendidikan tinggi, Malaysia ditempatkan pada kedudukan ke-25 terbaik dunia, kita telah mendaki sebanyak 11 anak tangga dalam tempoh 6 tahun; dan
  • Keempat: Dengan jumlah 134 ribu pelajar asing di IPT tempatan, kita menghampiri matlamat menjadi Hab Pendidikan Tinggi Serantau.

Tuan Yang Dipertua,

86. Sejak tahun 2009 hinggalah sekarang, peruntukan untuk biasiswa yang disediakan oleh Kerajaan berjumlah 44 bilion ringgit. Bagi tahun 2018:

  • Pertamanya: 2.2 bilion ringgit bagi pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Kesihatan;
  • Kedua: 400 juta ringgit untuk geran penyelidikan dan pembangunan kepada IPTA, berbanding 235 juta ringgit yang diperuntukkan dalam Bajet yang lalu, termasuk satu peruntukan khas kepada Universiti Malaya untuk mencapai status Top 100 Universities in the World dalam masa terdekat;
  • Ketiga: 90 juta ringgit diperuntukkan bagi Program MyBrain untuk 10,600 orang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan kedoktoran; dan
  • Keempat: Setiap penuntut di IPT dan tingkatan enam pula akan terus diberi Bantuan Baucar Buku bernilai 250 ringgit, memanfaatkan seramai 1.2 juta pelajar.

Di kesempatan ini juga, saya mengucapkan sekalung tahniah kepada barisan kepimpinan baharu Majlis Perwakilan Pelajar di semua Universiti Awam, yang nampak kali ini, majoritinya dimenangi oleh pimpinan Mahasiswa Pro-Aspirasi, generasi pewaris TN50. Sebahagian wakil mereka turut bersama kita. Syabas dan tahniah diucapkan!

Tuan Yang Dipertua,

87. Rakyat Malaysia perlu mempersiap siaga diri, peka dan pantas, melalui latihan dan latihan semula, dalam memenuhi kehendak pasaran kerja. Kerajaan akan terus memberi sokongan melalui,…

88. Contohnya, Skim Latihan 1Malaysia atau SL1M, yang telah melatih lebih 138 ribu graduan, akan diteruskan dengan peningkatan sebanyak 5 ribu graduan kepada 25 ribu perantis pada tahun hadapan. Manakala, program temuduga terbuka oleh unit SL1M juga diteruskan dengan peruntukan sebanyak 40 juta ringgit.

89. Bagi memperluaskan SL1M, syarikat swasta yang mendapat kontrak Kerajaan diwajibkan memperuntukkan satu peratus daripada nilai projek kepada SL1M.

90. Selain itu, Kerajaan akan mewujudkan pusat sehenti menggabungkan agensi seperti JobsMalaysia, SL1M, PERKESO, HRDF dan TERAJU di UTC untuk menyediakan khidmat nasihat profesional bagi mendapatkan pekerjaan serta latihan.

...

98. PE-TUNJANG KETIGA: MENG-UNGGULI PEMBANGUNAN PENDIDIKAN, LATIHAN, KEMAHIRAN DAN BAKAT. Untuk pengetahuan, perbelanjaan pendidikan Malaysia adalah lebih dua kali ganda daripada perbelanjaan negara ASEAN lain secara purata. Bagi tahun 2018, 61.6 bilion ringgit disediakan untuk sektor ini.

Ini termasuk 654 juta ringgit bagi pembinaan empat pra sekolah, sembilan pusat PERMATA termasuk dua pusat baharu untuk kanak-kanak autisme; 48 buah sekolah rendah, menengah dan kolej vokasional, serta sebuah pusat matrikulasi.

99. Saban tahun, Bajet ini sentiasa memberi keutamaan kepada Tabung Khas Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah. Di sudut ini, 550 juta ringgit diperuntukkan, dengan pecahan berikut:

  • Kepada Sekolah Kebangsaan – 250 juta ringgit;
  • Kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina – 50 juta ringgit;
  • Kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil – 50 juta ringgit;
  • Kepada Sekolah Mubaligh – 50 juta ringgit;
  • Kepada Sekolah Berasrama Penuh – 50 juta ringgit;
  • Kepada Maktab Rendah Sains MARA – 50 juta ringgit; dan
  • Kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan – 50 juta ringgit.

Tuan Yang Dipertua,

100. Menyedari dan menginsafi hakikat bahawa terdapat hampir 2 ribu sekolah di seluruh negara yang berada dalam keadaan daif, seperti bumbungnya bocor, lantai yang rosak, dinding berlubang dan peralatan yang sudah lama tidak berganti.

101. Untuk itu, melalui kaedah Industrial Building System, Kerajaan dengan penuh rasa tanggungjawab, mengumumkan,… peruntukan ter-besar sejumlah 2.5 bilion ringgit bagi tempoh dua tahun, dengan pecahan 500 juta ringgit buat sekolah-sekolah daif di Semenanjung Malaysia, 1 bilion ringgit di Sabah dan 1 bilion ringgit di Sarawak.

102. Sejumlah 2.9 bilion ringgit pula, diperuntukkan untuk bantuan makanan, buku teks, geran kapita dan biasiswa kecil persekutuan.

103. Manakala, Bantuan Persekolahan seratus ringgit seorang kepada murid sekolah berpendapatan rendah diteruskan, dengan peruntukan 328 juta ringgit, memanfaatkan 3.2 juta murid.

Tuan Yang Dipertua,

104. Menyentuh hal pendidikan, teringat saya intisari sajak Guru Oh Guru yang sering disesuaikan dengan karya Sasterawan Negara, Allahyarham Dato’ Usman Awang atau nama pena-nya Tongkat Warrant, berbunyi:

Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa,…

Menjadi seorang Perdana Menteri,… menjadi doktor,… menjadi peguam,…

Menjadi ahli politik,… menjadi akauntan,…

Hakikat,… sejarahnya dimula oleh seorang guru biasa,…

Dengan lembut dan sabar,…

Gurulah yang mengajar kita menulis dan membaca.

105. Begitulah mulianya pengorbanan para guru, bagai lilin yang membakar diri. Maka diucapkan syabas kepada semua guru di seluruh negara, yang telah bertungkus-lumus membangunkan anak-anak bangsa!

Tuan Yang Dipertua,

106. Seperti semua maklum, PTPTN ditubuhkan bagi menguruskan pinjaman untuk anak-anak Malaysia melanjutkan pengajian pendidikan tinggi.

107. Dalam bab PTPTN ini, semua kena faham,… seperti mafhum dalam hadis, hutang tetap hutang dan wajib dibayar.

108. Maka hal PTPTN ini usahlah dipolitikkan, tapi peminjam perlu bertanggungjawab membayar balik, kerana generasi kini dan akan datang turut memerlukannya, sebagai mana anda semua.

109. Kepada semua peminjam PTPTN, Kerajaan bersetuju melanjutkan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN sehingga 31 Disember 2018 seperti berikut:

  • 20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman;
  • 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran; dan
  • 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau direct debit mengikut jadual.

110. Bukan itu sahaja, sukacita saya mengumumkan kelonggaran tambahan PTPTN seperti berikut:

  • Pertama: Bagi pelajar dari keluarga B40 yang mengikuti kursus ber-boleh-pasaran tinggi, 200 juta ringgit ditambah untuk menaikkan jumlah pinjaman maksimum mereka; dan
  • Kedua: Tempoh grace period pembayaran balik pinjaman dilanjutkan kepada 12 bulan setelah tamat pengajian, berbanding enam bulan pada masa ini.

111. Seterusnya, kepada para peminjam yang ingin menyambung pengajian ke peringkat seterusnya, sebagai contoh diploma ke ijazah sarjana muda, mereka boleh meng-gabungkan pinjaman diploma dan ijazah sebagai satu pinjaman, dan hanya perlu membuat bayaran balik selepas tamat pengajian di peringkat ijazah itu.

112. Jelas sekali,… pelbagai ruang telah Kerajaan berikan,… kalau tak bayar juga, tak tahu lah apa yang kita nak ucapkan lagi,…

Tuan Yang Dipertua,

113. Selain itu, bagi menggalakkan budaya menabung untuk pendidikan, 250 juta ringgit disediakan kepada 500 ribu pencarum berumur 7 hingga 12 tahun dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional yang dijenamakan semula sebagai Skim Simpanan Pendidikan 1Malaysia atau SSP1M, kelolaan PTPTN.

Geran sepadan lima ratus ringgit akan diberikan kepada mereka yang mempunyai jumlah caruman sekurang-kurangnya lima ratus ringgit, dan hanya boleh dikeluarkan apabila mencapai usia 18 tahun.

114. Tambahannya, tempoh pelepasan cukai pendapatan individu dilanjutkan, terhad kepada enam ribu ringgit, bagi simpanan bersih yang dibuat ke dalam SSP1M selama tiga tahun mulai tahun taksiran 2018.

Tuan Yang Dipertua,

115. Sebetulnya lagi, menyedari kepentingan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau TVET dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berdaya saing, kesemua institusi TVET di bawah tujuh Kementerian, dijenamakan sebagai “TVET Malaysia”, di bawah koordinasi Kementerian Sumber Manusia.

116. Selain itu, Kerajaan memperuntukkan 4.9 bilion ringgit untuk melaksanakan Pelan Induk TVET Malaysia.

117. Bagi menggalakkan lepasan TVET melanjutkan pengajian, Kerajaan menyediakan seratus Biasiswa Pelajar Cemerlang TVET dengan peruntukan 4.5 juta ringgit.

...

Selain itu, 2.4 bilion ringgit diperuntukkan kepada UiTM. Dalam pada ini, Kerajaan telah menambah bilangan kemasukan pelajar di UiTM kepada lebih 165 ribu orang dengan sasaran mencapai 250 ribu pelajar menjelang 2020.

143. Lebih membanggakan, UiTM sebagai institusi Bumiputera, telah berjaya melahirkan lebih 700 ribu graduan Melayu dan Bumiputera.

144. Laginya, untuk 2018, Kerajaan memperuntukkan lebih 3.5 bilion ringgit bagi inisiatif:

  • Pertamanya: 2.5 bilion ringgit, yakni tertinggi pernah diberikan, untuk biasiswa pengajian tinggi dan latihan di bawah MARA, memanfaatkan hampir 90 ribu pelajar, termasuk 1,500 dalam bidang kritikal seperti Artificial Intelligence, signalling dan Rel;
  • Kedua: 90 juta ringgit, bagi Program Peneraju Profesional, Skil dan Tunas, memanfaatkan hampir 8 ribu orang;
  • Ketiga: 200 juta ringgit untuk MARA Graduate Employability Training Scheme atau GETS;