Pengangkutan & Infrastruktur

Tuan yang Dipertua,

69. Dalam mempastikan limpahan ekonomi yang lebih seimbang di antara bandar dan luar bandar, Kerajaan akan memperkemas infrastruktur logistik dan pengangkutan, melalui langkah berikut:

  • Pertama: Pembinaan projek East Coast Rail Link atau ECRL yang menghubungkan Pelabuhan Klang ke Pengkalan Kubor, Kelantan yang dapat membawa muatan kargo dan penumpang dalam tempoh empat jam. Kerja-kerja pembinaan fizikal akan bermula Januari 2018.

    Selain itu, 110 juta ringgit diperuntukkan untuk menyedia jalan alternatif ke Pelabuhan Klang bagi melengkap dan melancarkan jaringan pengangkutan;

  • Kedua: Projek MRT2 jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya dengan jarak 52 kilometer meliputi 37 stesen dengan anggaran kos 32 bilion ringgit.

    Selain itu, Kerajaan akan mempercepatkan pembinaan MRT3 atau Circle Line, dijangka siap pada 2025, lebih awal berbanding 2027.

    Selanjutnya, bagi projek LRT3 yang bakal menghubungkan Bandar Utama ke Johan Setia, Klang, dijangka siap pada Februari 2021;

  • Ketiga: Projek High Speed Rail menghubungkan Kuala Lumpur – Singapura sejauh 350 kilometer dalam masa 90 minit, dijangka memanfaatkan rakyat menjelang 2026;
  • Keempat: Berita gembira buat rakyat Selangor dan Perak, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat dari Banting ke Taiping sedang dibina dengan kos lima bilion ringgit;
  • Kelima: Untuk Projek Central Spine Road, 230 juta ringgit diperuntukkan untuk tahun 2018 bagi meneruskan pembinaan, antaranya pakej jajaran Raub ke Bentong, dan jajaran Gua Musang, Kelantan ke Kampung Relong, Pahang;
  • Keenam: Bajet ini juga mengisytiharkan bahawa,… Pulau Pangkor di Perak sebagai Pulau Bebas Cukai. Walau bagaimanapun, ini tidak termasuk barang-barang seperti minuman keras, rokok dan kenderaan bermotor; dan
  • Ketujuh: Untuk merancakkan ekonomi di bahagian Utara,

Special Border Economic Zone di Bukit Kayu Hitam akan dibangunkan.

Pembangunan ini turut merangkumi Zon Perindustrian Bebas yang akan menjadi tarikan baharu kepada pelabur dari dalam dan luar negara.

Tuan Yang Dipertua,

70. Di samping itu juga, Kerajaan melihat secara holistik keperluan rakyat untuk menikmati sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan selamat dengan langkah berikut:

  • Pertama: Tiga bilion ringgit disediakan kepada Dana Pembangunan Pengangkutan bagi pembelian aset kapal, pembangunan industri teknologi aeroangkasa dan rel.

    Seterusnya, satu bilion ringgit diperuntukkan kepada Tabung Pengangkutan Awam bagi modal kerja dan pembelian aset seperti bas dan teksi;

  • Kedua: 95 juta ringgit bagi pembaikan dan pembinaan jeti serta pengerukan kuala sungai;
  • Ketiga: Berikutan kejadian-kejadian kemalangan bas penumpang, 45 juta ringgit dibelanjakan bagi mewujudkan satu sistem kawalan biometric untuk memantau pemanduan perkhidmatan bas ekspres; dan
  • Keempat: 55 juta ringgit sebagai subsidi pengangkutan perkhidmatan keretapi luar bandar, dari Tumpat ke Gua Musang.

Tuan Yang Dipertua,

71. Saya membentangkan Bajet ini sebagai Perdana Menteri untuk kesejahteraan rakyat, tanpa mengira perbezaan fahaman politik dan kedudukan geografi, demi kepentingan ekonomi negara secara keseluruhannya,… maka saya mengumumkan,…

  • Pertama: Kerajaan akan menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi;
  • Kedua: Membina baharu lapangan terbang Mukah dan pembesaran Lapangan terbang Kota Bharu dan Sandakan;
  • Ketiga: Sementara itu, satu kajian mengenai lapangan terbang baru di Pulau Tioman sedang dijalankan oleh Kerajaan; dan
  • Keempat:Untuk merancakkan pembangunan di Labuan, Kerajaan akan membuat feasibility study bagi membina jambatan menghubungkan Labuan dengan tanah besar di Sabah.