Perumahan & Kehidupan Bandar

181. Dalam hal perumahan dan kediaman, Kerajaan akan merancakkan lagi usaha pemilikan rumah untuk rakyat dengan peruntukan 2.2 bilion ringgit seperti berikut:

  • Pertama: 17,300 unit rumah Projek Perumahan Rakyat;
  • Kedua: 3,000 unit rumah program Rumah Mesra Rakyat di bawah SPNB;
  • Ketiga: 210 ribu unit rumah di bawah program PR1MA yang berharga 250 ribu ringgit ke bawah. Untuk ini, 1.5 bilion ringgit diperuntukkan bagi tempoh dua tahun;
  • Keempat: 25 ribu unit rumah akan disiapkan pada tahun hadapan di bawah PPA1M, dan 128 ribu unit lagi di bawah pelbagai peringkat pelaksanaan;
  • Kelima: 600 unit rumah di bawah program My Beautiful New Homes atau MyBNHomes untuk isi rumah B40 antaranya di Terengganu, Pahang, Melaka, Johor, Sabah, Sarawak dan kawasan orang asli;
  • Keenam: 2 ribu unit rumah di bawah program MyDeposit untuk membantu pembayaran deposit, dan program MyHomes untuk pemaju menyediakan lebih banyak rumah mampu milik; serta
  • Ketujuh: 200 juta ringgit untuk penyelenggaraan dan pembaikan rumah, termasuk Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia.

182. Bagi menggalakkan lebih banyak pembinaan rumah mampu milik, skim step-up financing yang diperkenalkan oleh PR1MA, dipanjangkan kepada pemaju perumahan swasta, berdasarkan kriteria yang akan ditetapkan.

183. Berkaitan rumah terbengkalai pula, dicadangkan pengecualian duti setem ke atas perjanjian pinjaman dan surat cara pindahmilik, diberikan kepada kontraktor penyelamat dan pembeli asal rumah terbengkalai, berkuatkuasa 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2020.

Tuan Yang Dipertua,

184. Bagi tujuan menggalakkan pasaran sewaan rumah kediaman pula, buat kali pertama dalam tempoh 60 tahun,… Kerajaan mengumumkan,… pengecualian cukai ke atas pendapatan sewaan rumah kediaman sebanyak 50 peratus bagi pendapatan sewa sehingga dua ribu ringgit sebulan kepada individu rakyat Malaysia yang bermastautin di Malaysia.

185. Pengecualian ini diberi bermula dari tahun taksiran 2018 hingga 2020. Kerajaan juga akan menggubal Akta Sewaan Rumah Kediaman untuk melindungi penyewa dan pemilik rumah